Systemic Lupus Erythematosus ( SLE )


Lupus

Lupus ialah penyakit autoimun yang kronik di mana banyak protein darah yang dikenali sebagai antibodi dihasilkan dalam tubuh pesakit kerana sebab yang tidak diketahui. Antibodi ini mula bertindak balas terhadap tisu badan pesakit.

Sistem imun adalah sistem pertahanan diri yang kompleks untuk melindungi  tubuh dari agen-agen penyakit berjangkit  seperti bakteria dan organisma asing yang lain. Jika seseorang menghadapi penyakit autoimun, sistem imunnya menjadi bercelaru dan mula menyerang tisu  badan sendiri dan bukan agen-agen penyakit berjangkit.

SLE

Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) ialah sejenis penyakit  di mana antibodi seseorang bertindakbalas dengan tisu badan seseorang pesakit itu sendiri. Ini menjejaskan beberapa bahagian sistem tubuh seperti kulit, sendi, buah pinggang, paru-paru, sistem saraf, atau organ-organ lain di dalam badan. “Lupus” berasal dari perkataan Latin bererti “serigala”. (Ini adalah kerana seorang doktor Perancis yang mula-mula merawat pesakit lupus mengibaratkan tompok-tompok kemerahan di muka pesakit sebagai gigitan serigala.

Gejala yang biasa dialami oleh pesakit ialah radang kulit dan sakit sendi (arthritis), selalunya di iringi oleh keletihan dan demam. Penyakit SLE ada masanya tidak aktif, iaitu dapat dikawal (remission), dan ada masanya menjadi aktif (replapse)

Kadar kelaziman

90% pesakit SLE adalah kaum wanita dan 10% adalah lelaki. Dipercayai 10,000 orang mengidap SLE di Malaysia. Penyakit ini jarang dihidapi oleh orang ramai.

Kenapa ia berlaku?

Sistem imun tidak berfungsi dengan sempurna kerana pelbagai faktor, sama ada keturunan, virus sinaran cahaya ultra ungu atau perubatan.

Di Malaysia dianggarkan lebih daripada 10,000 orang telah disahkan mengidap SLE dalam jangka masa 30 tahun kebelakangan ini. Namun demikian, PSLEM percaya ada ramai lagi mereka yang mengidap SLE yang belum disahkan.

Bagaimana untuk mengesan SLE?

Untuk mengesahkan pesakit mengidap SLE bukanlah suatu yang mudah.  Kadangkala para doktor mengambil masa yang lama berbulan atau bertahun untuk mengesan SLE. Itu pun jika pesakit datang secara berterusan kepada seorang doktor untuk mendapat rawatan. Dengan cara ini semua gejala dapat dikumpul dan direkodkan.

Pesakit juga perlu memberitahu doktor kesemua msalah yang dialami dengan betul dan tepat. Kebolehan berkomunikasi yang berkesan di antara doktor dan pesakit sangat penting. Bagi pihak pesakit, ianya dapat membentuk kefahaman dan kesedaran tentang penyakit SLE. Bagi pihak doktor pula, ianya memerlukan pengetahuan serta pengalaman yang luas untuk mengesahkan diagnosa dengan tepat dan cekap. Di antara perkara yang perlu dilapurkan kepada doktor ialah sejarah kesihatan dan masalah kesihatan yang dialami sehingga kini. Maklumat ini amat membantu dan kritikal untuk menentukan diagnosa. Keputusan pemeriksaan darah dan air kencing serta pemeriksaan fizikal juga amat penting bagi membuat diagnosa yang tepat.

Tidak ada satu sahaja kajian untuk mengesahkan diagnosa dengan tepat.Malah ianya memerlukan beberapa ujian darah dan air kencing. Ujian yang dianggap berkesan ialah ujian bagi menganalisa auto-antibodi dalam darah pesakit SLE, seperti antibodi antinuklear (ANA) yang bertindak melawan komponen nukleus sel tubuh. Kebanyakan pengidap SLE mempunyai antibodi antinuklear. Namun demikian ada penyakit auto-imun dan jangkitan lain juga mempunyai antibodi antinuklear. Kadang kala orang yang sihat juga mempunyai antibodi antinuklear.

Selain dari ujian darah ANA, ada beberapa lagi ujian auto-antibodi yang khusus untuk membantu diagnosa SLE. Ini adalah anti-DNA, anti-Sm, anti-RNP, anti-Ro (SSA), dan anti-La (SSB). Walaubagaimanapun tidak semua pengidap SLE mempunyai keputusan ujian-ujian tersebut yang positif, dan tidak bermakna bila tidak mempunyai antibodi tersebut bukan mengidap SLE.

Biopsi ialah satu lagi ujian yang dijalankan bagi membantu diagnosa SLE dan ini dilakukan dengan mengambil sedikit contoh tisu organ yang terlibat misalnya tisu kulit, tisu buah pinggang, dan sebagainya. Ada juga sesetengah doktor menjalankan ujian antibodi antikardiolipin (antifosfolipid). Jika seorang pesakit SLE mempunyai antibodi ini, terutama pesakit wanita yang hamil, mereka boleh mendapat risiko pembekuan darah serta keguguran bayi. Kesemua ujian-ujian ini adalah sumber maklumat untuk membantu membuat diagnosa. Secara keseluruhannya, sejarah rawatan, gejala dan keputusan ujian dapat membantu membuat diagnosa SLE.

Selain itu, ujian biasa yang selalu dilakukan untuk memantau perkembangan penyakit SLE adalah “FBC” (Full Blood Count), “blood chemistry”, “ESR” (erythrocyte sedimentation rate) dan ujian air kencing. Ini dapat memberi maklumat yang penting. Satu lagi ujian yang biasa dilakukan ialah mengukur paras darah yang dipanggil “complement”. Keputusan ujian darah “ESR” bagi pengidap SLE biasanya lebih tinggi bacaannya, tetapi bacaan paras “complement” darahnya adalah rendah terutama semasa penyakit itu sedang dalam peringkat aktif (flare). Ujian X-ray dan ujian-ujian pengimejan yang lain boleh juga membantu dalam memastikan jika ada organ-organ lain yang terjejas.

Bagaimana SLE boleh dirawat?

Merawat SLE  adalah merupakan satu cabaran. Rawatannya juga bergantung kepada gejala dan tahap penyakit yang dialami.

Disebabkan pesakit SLE mengalami berbagai gejala kita akan dapat melihat pesakitnya di pelbagai klinik seperti di klinik rheumatologi, dermatologi, nefrologi, hematologi, neurologi dan psykiatrik. Untuk menentukan pesakit SLE dirawat dengan sempurna, pakar-pakar dari pelbagai disiplin perlu bergabung tenaga bagi merawat dan menghalang penyakit SLE dari terus semarak (flare) serta dapat mengawal komplikasi dan menghalang organ-organ yang diserang SLE dari terus rosak.

Walaupun penyakit lupus tak dapat disembuhkan, cara-cara pengurusan boleh memastikan pesakit tetap menikmati hidup yang berkualiti. Matlamat rawatan adalah untuk melegakan simptom dan melindungi organ dari kerosakan.


No comments:

Post a Comment

© Copyright Reserved to PSLEM Terengganu Chapter l Designed by DayangDeno